Social Icons

Pages

Sunday, May 17, 2009

ILMU TAUHID DAN KELEBIHANNYA

KELEBIHAN ILMU TAUHID


Alhamdulillah, Tuhan yang telah memerintah hambaNya untuk mengenaliNya, selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi muhammmad, yang mengajak manusia mengenali Tuhan sekelian alam dengan dakwahnya.

Allah berfirman:
" فاعلم أنه لا اله الا الله واستغفر لذنبك "
Yang bermaksud:

“ Maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tiada tuhan(yang haq) melainkan Allah, dan mohonlah keampunan bagi dosamu ”. Muhammad, ayat19.

Sesungguhnya ilmu mengenali Allah dan sifat-sifatNya merupakan ilmu yang paling mulia dan wajib. Ilmu ini dinamakan ilmu usul, ilmu tauhid dan ilmu aqidah. Nabi Muhammad telah mengkhususkan dirinya dalam kemulian ilmu ini dengan bersabda baginda :
" أنا أعلمكم بالله و أخشاكم له "
Yang bermaksud:
“ Aku yang paling mengenali Allah dan lebih takut kepadaNya daripada kalangan kamu ”.

Maka ilmu aqidah adalah ilmu yang paling penting dan paling mulia untuk dipelajari. Dinamakan juga ilmu ini yang berserta dengan dalil akal dan dalil naqli daripada Al-quran dan As-sunnah sebagai ilmu kalam. Dinamakan ilmu ini sebagai ilmu kalam kerana banyaknya pencanggahan pendapat di kalangan mereka yang mendakwa sebagai beragama Islam, dan banyak perbahasan mengenainya oleh ulama’ ahli sunnah untuk menyatakan kebenaran yakni menetapkan kebenaran. Sesetengah ulama’ pula menyatakan ilmu itu dinamakan ilmu kalam adalah kerana masaalah yang paling masyhur perselisihan pandangan padanya adalah mengenai Kalam Allah, apakah ianya qadim dan ini merupakan pendapat yang benar kerana ahlul sunnah menyatakan bahawa Allah mutakallim (bersifat dengan sifat kalam) yang azali lagi abadi, bukanlah berhuruf mahupun bersuara, bukan jua berbahasa arab, ibraniyyah, suryaniyyah dan bukan juga selainnya.


Telah berkata Imam Abu Hanifah radhiyallahu ‘anhu didalam kitab berliau yang berjudul Fiqhul Absoth mengenai Allah :

" ويتكلم لا ككلامنا, نحن نتكلم بالآلة والله متكلم بلا آلة ولا حرف "

Yang bermaksud :

“ Dan Allah bersifat dengan sifat kalam tidak seperti kalam kita kerana kita berkata-kata dengan mengunakan alat (seperti mulut) akan tetapi Allah bersifat dengan sifat kalam adalah tidak memerlukan kepada alat dan huruf ”.

Allah ta’ala bersifat dengan sifat kalam yang tidak sama seperti kalam kita, dan tidaklah bagiNya kalam yang ada permulaan dan tidak juga ada penghujungnya, tidaklah disifatkan kalam Allah itu diam atau terputus kerana kalam Allah tanpa huruf dan tanpa suara dan bahkan ia adalah sifat bagi Allah yang tidak sama dengan sekelian kalam makhluknya.Firman Allah ta’ala:

" وكلم الله موسى تكليما "
Yang bermaksud:
“ Dan Allah berkata-kata dengan Musa” .

Maka, ilmu tauhid merupakan Ilmu yang sangat mulia dari ilmu lain kerana Ilmu Tauhid berkaitan dengan semulia-mulia pengetahuan, kerana Ilmu Tauhid memberi manfaat dengan mengenal Allah, kita dapat mempelajari apa yang layak bagiNya dan mengenal RasulNya seperti apa yang layak baginya dan mensucikan Allah dari apa yang tidak harus bagiNya dengan mempelajari perkara-perkara yang wajib keatas para nabi dan mengetahui perkara yang tidak layak bagi mereka, maka adalah Ilmu tauhid itu lebih mulia dari ilmu hukum hakam.


Dan telah berkata Imam Abu hanifah didalam kitabnya yang berjudul : Fiqhul Absat :

" اعلم أن فقه في الدين أفضل من الفقه في الأحكام "
Yang bermaksud:

“ Ketahuilah bahawa mendalami Ilmu tauhid lebih mulia dari mendalami Ilmu hukum hakam”.

Wallahu a’lam wa ahkam.

No comments:

Post a Comment

>

Komen Terkini

Recent Comments Widget by Jom Bina Belog
 

Posts & Comments

get this

Trafik

 
Blogger Templates