Social Icons

Pages

Sunday, May 30, 2010

“AGAMA-AGAMA SAMAWI” ISTILAH KEJI YANG MESTI DIHINDARI

SEBUTAN YANG BETUL ADALAH “AGAMA SAMAWI” KERANA AGAMA YANG DITURUNKAN DARI LANGIT ADALAH ISLAM SATU-SATUNYA.

Umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam merupakan umat yang terpilih lagi mulia selagi mana mereka sentiasa berpegang serta memperjuangkan perkara yang makruf dan membanteras serta membasmi perkara yang mungkar. Perkara yang paling utama, paling asas ialah mereka beriman dengan Allah Subhanahu Wa Taala yang telah menurunkan Agama Islam dari langit kepada nabi junjungan besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Sedia maklum bahawa agama sebenar, yang diredai oleh Allah hanyalah Agama Islam sahaja. Agama Islam bukan sahaja merupakan agama Nabi Muhammad, bahkan agama nabi-nabi terdahulu sebelum baginda. Perkara ini dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran. Inilah yang akan dihuraikan nanti berdasarkan nas yang jelas dari al-Quran dan al-Sunnah.

Apa yang berlaku sekarang ini secara realitinya ialah wujud istilah “Agama-agama samawi” ((al-adyan al-samawiyyah)) dalam bentuk kata banyak (sighah jama’) yang diistilahkan kepada agama-agama lain selain dari Agama Islam datangnya juga dari langit. Dalam erti kata yang lain datang dari Allah juga. Ini merupakan satu kesilapan yang besar lagi bahaya.

Apa yang lebih tercela ialah istilah tersebut merujuk kepada nabi-nabi tertentu seperti istilah Agama Hanif kepada Nabi Ibrahim, Agama Yahudi kepada Nabi Musa dan Agama Kristian atau Nasoro kepada Nabi Isa Alaihimus Salam. Perkara ini dilakukan oleh segelintir pengarang yang mengarang buku-buku sejarah mengenai agama-agama di dunia dan di dalam karangan-karangan lain, begitu juga dalam syarahan serta kuliah agama oleh sebahagian pendakwah. Jika dilihat, perkara ini amat mendukacitakan kita kerana golongan pengarang ini atau pendakwah tersebut bukanlah terdiri dari orang kebanyakan bahkan mereka ini terdiri dari orang-orang yang mempunyai ijazah dalam bidang agama bahkan dianggap tokoh atau cendikiawan agama.

Perlu kita fahami bahawa jika dikatakan atau diistilahkan “agama samawi” dalam kata tunggal (sighah mufrad) adalah islam ataupun islam adalah “agama samawi”, maka ianya betul dan tidak bercanggah. Ini kerana agama yang sebenar hanya satu sahaja iaitu Agama Islam. Agama Islam dinisbahkan kepada langit kerana datangnya dari Allah yang menurunkannya dari Lauh al-Mahfuz yang terletak di atas langit melalui Malaikat Jibril kepada para nabi yang bermula dari Nabi Adam Alaihis Salam sehinggalah nabi yang terakhir Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Kesemua mereka datang dengan membawa agama yang satu tetapi dengan syariat yang berlainan. Oleh yang demikian dikatakan “syariat-syariat samawiyyah” bukannya “agama-agama samawiyyah”.

Justeru itulah, syariat setiap rasul berbeza, adapun segi usul atau akidah kesemuanya sama, tidak ada keraguan mahupun kelainan seperti beriman dengan Allah, para malaikat, kitab-kitab, rasul-rasul, hari kiamat dan beriman dengan qada baik dan buruk. Perbezaan hanya berlaku pada sebahagian syariat. Sebagai contoh; pada zaman Bani Israil pakaian yang terkena air kencing tidak boleh disucikan melainkan dengan memotong bahagian yang terkena najis tersebut. Bagi umat Nabi Muhammad kelonggaran diberikan oleh Allah dengan disyariatkan harus dibasuh tanpa memotong pakaian seperti mereka. Begitu juga pada syariat dahulu tidak boleh menunaikan solat kecuali pada tempat tertentu, bagi umat Nabi Muhammad pula di mana sahaja mereka berada boleh menunaikan solat.

Bagi penggunaan istilah “agama-agama” yang tidak dinisbahkan kepada langit, ianya bukanlah satu kesalahan. Malah, kita sebutkan Islam sebagai “agama” dan selain islam iaitu agama-agama yang batil ciptaan manusia sendiri juga disebut sebagai “agama”. Ini berdasarkan firman Allah Taala dalam Surah al-Kafirun, ayat 6 yang bermaksud:

“Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku”.

Dalam al-Quran terdapat satu ayat yang amat jelas lagi amat mudah difahami sekalipun bagi orang-orang yang baru belajar Bahasa Arab bahawa agama sebenar yang datang dari Allah hanya satu sahaja, tidak dua, tidak tiga apatah lagi lebih dari itu.

Ayat tersebut ialah firman Allah Taala dalam Surah Ali Imran, ayat 19 yang bermaksud:

“Sesungguhnya agama (yang sebenar) di sisi Allah ialah (Agama) Islam”.

Dalam ayat-ayat yang lain Allah berfirman yang bermaksud;

“Barang sesiapa yang mencari agama selain Agama Islam maka ianya tidak akan diterima. Dan dia di akhirat kelak tergolong dikalangan orang-orang yang rugi”.

Surah Ali-Imran: 85,

“Bukanlah Nabi Ibrahim orang Yahudi mahupun Nasrani tetapi dia merupakan orang yang suci (hanif) lagi muslim, dan tidaklah dia tergolong di kalangan orang-orang yang musyrik”.

Surah ali Imran: 67.

Berdasarkan tiga ayat di atas, Allah menetapkan hanya Agama Islam datang daripadaNya dan agama lain adalah salah dan sesat tanpa kompromi. Begitu juga Allah menafikan Nabi Ibrahim dari sifat syirik seperti golongan Yahudi dan Nasoro. Ini menunjukkan serta menjelaskan kepada kita bahawa golongan Yahudi dan Nasoro merupakan golongan yang mensyirikkan Allah seperti kata Yahudi; Allah berehat pada hari ke tujuh di atas Arasy setelah berpenat lelah menciptakan bumi dan langit, begitu juga golongan Nasoro yang beriktikad dengan akidah “trinity”.

Jika begitulah keadaannya, adakah boleh dikatakan Nabi Muhammad datang dengan Agama Islam , Nabi Musa dengan agama yang lain iaitu Yahudi, begitu juga para nabi yang lain datang dengan agama yang berbeza sedangkan kesemua mereka utusan dari Allah, tuhan yang satu? Adakah pandangan sebegini diterima oleh orang yang berakal?!!

Pandangan ini yang jelasnya amat terkutuk kerana menyamakan Islam dengan agama batil yang menyekutukan Allah, yang menyamakan Allah dengan makhlukNya seperti bertempat, beriktikad bahawa Allah berehat atau duduk di atas Arasy, yang menisbahkan bagi Allah sifat tercela seperti letih, beranggota dan sebagainya. Jika para nabi datang membawa agama tersebut dari Allah, apa gunanya Nabi Muhammad dan seterusnya umat baginda berdakwah atau menyeru golongan yang kafir seperti Kaum Yahudi kepada Islam kerana agama mereka pun dari Allah?!!

Adakah di sana nas al-Quran atau hadis, bahkan kata-kata alim dari ulama muktabar islam yang mengukuhkan pandangan mereka bahawa para nabi tersebut datang dengan agama yang bernama selain Agama Islam? Jawapannya sudah tentu tidak ada langsung sama sekali bahkan ianya khayalan serta tokok tambah mereka sahaja.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam sahihnya, Kitab al-Anbiyak, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam telah bersabda:

“Para nabi merupakan saudara sebapa (ibu berlainan), agama mereka satu dan ibu-ibu mereka pelbagai”.

Maksud hadis ini ialah agama ke semua nabi ialah Agama Islam, cuma syariat mereka sahaja yang berbeza dari satu umat dengan umat yang lain.

Berkenaan Nabi Isa Alaihis Salam yang dikatakan membawa Agama Nasrani atau Kristian, kita dapat lihat kebatilan serta percanggahannya menerusi firman Allah di mana Allah menceritakan berkenaan baginda dalam ayat yang bermaksud;

“Maka tatkala Isa mengetahui keingkaran mereka (Bani Israil), dia berkata: siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku untuk (menegakkan agama) Allah? Maka berkatalah Hawariyyun (sahabat-sahabat setia baginda) menjawab: Kamilah penolong-penolong (agama) Allah. Dan saksikanlah bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang muslim”.

Surah Ali Imran: 52.

Bagi Nabi Allah Sulaiman Alaihis Salam, Allah menceritakan berkenaan baginda seperti mana firmanNya yang bermaksud:

“Sesungguhnya surat itu dari Sulaiman dan sesungguhnya (isinya) “Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasihani. Bahawa janganlah kamu sekelian berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang-orang yang muslim”,

Surah al-Namlu: 30-31.

Saidina Yusuf Alaihis Salam yang wujud sebelum Nabi Musa Alaihis Salam, Allah menceritakan berkenaan baginda:

“Wafatkanlah daku dalam keadaan islam dan gabungkanlah daku beserta orang-orang yang soleh”,

Surah Yusuf: 101.

Di sana masih terdapat banyak ayat-ayat berkenaan para nabi lain yang menunjukkan seumpamanya. Berkaitan orang-orang Yahudi, mereka sebenarnya ialah pengikut Saidina Musa Alaihis Salam dan nabi-nabi yang lain di kalangan Bani Israil, mereka itu pada asalnya beragama dengan Agama Islam yang di bawa oleh nabi-nabi mereka. Kalimah Yahudi lahir menerusi firman Allah yang menceritakan berkenaan Nabi Musa yang bermaksud:

“Sesungguhnya kami bertaubat (hudna) kepadaMu”.

Surah al-A’rof: 156.

Berdasarkan ayat di atas, kalimah “hudna” beerti Bani Israil bertaubat dari kesalahan yang mereka lakukan. Oleh itulah mereka digelar sebagai Yahudi. Demikian jugalah perihalnya dengan Nasoro, ianya merupakan nisbah kepada suatu tempat di Palestin yang dinamakan al-Nasiroh, dikatakan juga Nasroh. Boleh juga dikatakan ianya disebutkan demikian kerana mereka menolong Nabi Isa yang dipanggil nasoro atau Hawariyyun seperti dalam ayat yang telah lalu dalam surah Ali Imran, ayat 52,

“Maka berkatalah Hawariyyun (sahabat-sahabat setia baginda) menjawab: Kamilah penolong-penolong (agama) Allah. Dan saksikanlah bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang muslim”.

Dalil lain dalam al-Quran menunjukkan bahawa Agama Islam adalah agama semua nabi sebelum Muhammad;

“Dia telah mensyariatkan bagi kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkanNya kepada Nuh dan apa yang telah kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa iaitu: tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya”.

Surah al-Syura: 13.

Jika diteliti ayat di atas ianya menunjukkan dengan jelas bahawa agama yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam merupakan agama yang sama seperti yang telah diwahyukan kepada nabi-nabi terdahulu. Contohnya seperti yang dinyatakan dalam ayat tersebut ialah Nabi Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa Alaihimus Salam. Apabila agama tersebut sama beerti kesemuanya datang dengan Agama Islam. Kenapa ada segelintir yang memandai-mandai menokok tambah mengatakan kononnya Nabi Ibrahim membawa Agama Hanif, Musa dengan Yahudi dan Isa dengan Nasoro? Adakah terlalu susah atau terlalu berat lidah mereka untuk mengungkapkan bahawa kesemua nabi membawa Agama Islam dari Allah? Atau di sana ada sekelumit maksud yang tersirat bagi menggambarkan Agama Islam tidak jauh bezanya dengan Agama Yahudi dan Nasoro untuk mendampingi mereka, yang kononnya islam amat bertoleransi dengan mereka dalam soal dunia mahupun soal kepercayaan atau akidah?.

Dalam ayat yang lain Allah berfirman yang bermaksud;

“Untuk tiap-tiap umat di antara kamu Kami berikan peraturan (syir’a`tan) dan jalan yang terang”,

Surah al-Maidah: 48.

Dalam ayat di atas Allah tidak pun berfirman “Untuk tiap-tiap umat di antara kamu Kami berikan agama (din)…”, tetapi yang wujud ialah syariat kerana semua nabi datang dengan agama yang satu iaitu Agama Islam, yang berbeza cuma syariat sahaja yang berbeza di antara satu umat dengan satu umat yang lain.

Berdasarkan keterangan dan hujah-hujah yang diberikan, perlulah kita memberikan perhatian sewajarnya kepada istilah “agama-agama samawi” yang mungkin dianggap remeh tetapi sebenarnya perkara besar dan berbahaya kepada akidah kita. Ini kerana implikasi daripadanya akan timbul anggapan bahawa Agama Yahudi dan Nasoro atau Kristian sama dengan Agama Islam kerana dari Allah jua. Begitu juga akan ada anggapan bahawa Nabi Ibrahim, Musa dan Isa, agama mereka tidak sama dengan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Seterusnya akan beriktikad bahawa Nabi Musa membawa akidah yang lain mengenai Allah seperti iktikad Yahudi sekarang, Nabi Isa dengan akidah yang lain yang dipercayai oleh Nasoro begitu juga Nabi Muhammad dengan akidah yang lain seperti yang kita anuti. Ini boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar dari islam kerana menisbahkan kekufuran kepada para nabi yang bersifat ma’sum di samping menafikan nas yang sorih, jelas dari al-Quran dan hadis-hadis semata-mata kerana berpegang dengan pembahagian yang tidak dilakukan oleh ulama islam, apatah lagi jelas bercanggah dengan nas.

Thursday, May 27, 2010

MARTABAT IMAN DAN ISLAM

IMAN & ISLAM TETAP ADA DALAM DIRI SETIAP MUSLIM, YANG BERTAMBAH @ BERKURANG ITU ADALAH SIFATNYA
Telah diriwayatkan di dalam hadis soheh bukhari dan muslim bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud : “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehinggalah mereka menyaksikan bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan aku ini adalah pesuruh Allah, apabila mereka telah mengatakan demikian itu maka akan terpeliharalah darah-darah mereka dan harta benda mereka dariku kecuali ianya menjadi hak Islam”. Hadis ini merupakan hadis yang teramat soheh, ianya telah diriwayatkan oleh sebilangan besar sahabat seterusnya kepada tabi’iin.. padanya tedapat dalil bahawa dengan hanya menyaksikan bahawa ‘tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah’ adalah kadar yang mencukupi untuk jadikan seorang itu Islam dan beriman kepada Allah kerana apabila disertakannya dengan kepercayaan dalam hati, itulah dia Iman dan Islam. Akan tetapi, jika dengan hanya percaya dalam hati tanpa diucapkan dua kalimah syahadah, maka ianya tidak memadai bagi mereka yang tidak lahir dalam kalangan ibu bapa yang Islam. Untuk masuk Islam, dia hendaklah menuturkan dua kalimah syahadah barulah dia dihukumkan Islam. Adapun, mereka yang dilahirkan dalam kalangan ibu bapa yang Islam, maka memadai untuk sah Iman dan Islamnya dengan berpegang pada kandungan makna dua syahadah walaupun tidak dituturkan dua syahadah tadi. Tetapi, dia dihukumkan berdosa kerana tidak melafazkannya.
Siapa yang berpegang dengan makna dua kalimah syahadah dalam hatinya, kemudian dia tidak ambil tahu tentang asas-asas Iman dan Islam dan tidak ambil tahu tentang amalan yang wajib dirinya lakukan seperti solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, dalam masa yang sama dia tidak pernah mengingkarinya. Fikirannya kosong, tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk ambil tahu, untuk mengingkari atau ragu-ragu tentang asas-asas tersebut. Maka orang seperti itu masih dihukumkan Islam.
Bukanlah syarat sah Iman dan Islam mesti ambil tahu tentang perkara berkaitan Rukun Islam dan Iman kerana kebanyakan rukun-rukun itu terdapat dalam satu hadis Jibril yang diriwayatkan oleh Umar al-Khattab iaitu penyaksian bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, dan mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji bagi mereka yang mampu pergi ke sana. Adapun rukun Iman iaitu beriman kepada Allah, beriman kepada para malaikat, kitab-kitab, rasul-rasul, hari kiamat serta qada’ dan qadar. Pengetahuan tentang ini bukanlah menjadi syarat untuk sahnya Islam dan Iman seseorang. Akan tetapi, syarat sah Islam dan Iman seseorang itu adalah dengan hanya berpegang dengan makna dua kalimah syahadah disamping itu dia tidak ber’iktiqad dengan ‘aqidah yang bertentangan dengannya.
Kemudian, sesiapa yang berpegang dengan makna dua kalimah syahadah semata-mata, tidaklah menjadikan Islam dan Imannya sempurna kecuali setelah digabungkan dengan pengetahuan tentang rukun-rukun Islam dan Iman serta dia menunaikan kewajipan dan menjauhi segala yang dilarang.
Sebahagian manusia menyangkakan bahawa tidak sah islam seseorang kecuali telah menghimpunkan rukun Islam yang lima. Mereka menyangkakan apabila dikatakan rukun Islam, kalimah rukun itu tidak ubah maknanya seperti perkataan ulama’ tentang ‘rukun solat’ adalah begini-begini.., rukun puasa adalah begini-begini.. kerana makna ‘rukun solat’ adalah perkara-perkara yang tidak sah kecuali dengan terhimpunnya segala rukun itu. Bukanlah ungkapan ‘rukun’ pada rukun Iman dan Islam seperti ungkapan ‘rukun’ pada rukun solat.., tidak boleh mereka berprasangka bahawa Iman dan Islam tidak dikira kecuali setelah terhimpun rukun-rukun tersebut. Sebagaimana tidak dikira solat itu kecuali setelah terhimpun segala rukun-rukunnya. Ini adalah fahaman yang salah!!. Tidak boleh kita bandingkan rukun Iman dan Islam dengan rukun solat dan puasa!!.
Kemudian Iman dan Islam mempunyai dua martabat iaitu martabat yang tinggi dan martabat yang rendah. Martabat yang tinggi tidak akan terhasil kecuali dengan berpegang makna dua kalimah syahadah dan menunaikan segala yang diwajibkan Allah ke atas hambaNya daripada amalan hati dan amalan yang dikerjakan dengan anggota badan dan dengan menjauhi segala yang diharamkan Allah. Adapun martabat rendah iaitu dengan berpegang makna dua kalimah syahadah sahaja.
Antara martabat-martabat ini sangatlah berbeza kerana martabat yang rendah itu hanyalah menjamin tuannya untuk menjauhi kekufuran dan selamat daripada kekal di dalam neraka dan seterusnya memasuki syurga samada setelah diazab atas kesalahan dosa yang dilakukan atau dimasukkan ke dalam syurga tanpa diazab terlebih dahulu.
Apabila seseorang itu telah masuk syurga, dia akan memperolehi empat perkara iaitu kehidupan yang tidak akan mati selepasnya, muda yang tidak akan tua selepasnya, kemewahan yang tidak putus, kesihatan yang tidak sakit selepasnya. Empat perkara ini merupakan ganjaran dari Allah ke atas setiap muslim yang memasuki syurga.
Adapun orang yang berada di martabat tinggi, mereka itu ketika meninggal dunia, akan disambut oleh malaikat maut iaitu Izrail Kemudian apabila telah dikebumikan tidak akan terjadi kepadanya kesulitan atau kepayahan dan dia tidak akan diancam oleh binatang berbisa yang ada di bumi dan dia tidak akan berada dalam ketakutan, tidak risau dengan kegelapan kubur, tidak rasa tersempit kerana Allah taala meluaskan kuburnya sejauh 70 hasta lebar dan dalam dan sebahagian mereka Allah luaskan kuburnya sejauh mata memandang. Adapun kegelapan kubur cukup dengan hanya Allah menyinarkan kuburnya dengan cahaya seperti cahaya bulan purnama. Kemudian, Allah anugerahkan bagi mereka yang berada di martabat tinggi kenikmatan yang tidak pernah dilihat oleh manusia waimma malaikat . Allah taala sembunyikan daripada pandangan mata sehinggakan malaikat penjaga syurga sendiri tidak pernah melihatnya. Nikmat-nikmat ini Allah taala khaskan untuk para solihin.

Sunday, May 23, 2010

TUDUHAN JAHAT TERHADAP NABI

MENYANGKAL DAKWAAN MEREKA YANG MENDAKWA NABI KAKI PEREMPUAN
Firman Allah Taala pada menyatakan perihal nabi Muhammad mafhumnya : “Sesungguhnya Engkau (Nabi Muhammad) memiliki akhlak yang paling tinggi.” Anas bin Malik mengatakan Rasulullah adalah manusia yang paling bagus akhlaknya. A’ishah pula menyifatkan sifat Rasulullah dengan mengatakan akhlak Baginda adalah Al-Quran yakni segala sifat-sifat mulia yang Allah perintahkan dalam al-quran ada pada Nabi kita.
Rasulullah merupakan manusia yang Allah taala pilih dan yang Allah lebihkan berbanding makhluk lain. Allah ta’ala khususkan kepada baginda dengan akhlak yang terpuji. Tumpuan beliau hanyalah untuk mendapat keredhoan Allah dengan menyampaikan syariat islam tanpa putar belit dan tokok tambah. Baginda melakukan dengan penuh didikasi, tanpa sebarang penyelewengan kerana takutkan cemuhan manusia, tanpa rungutan , tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, kalau beginilah sifat baginda mana mungkin hatinya boleh terikat dengan perempuan sebagaimana sangkaaan dan tohmahan yang dilemparkan oleh musuh islam terhadap baginda?? Percakapan mereka ini hanyalah dengan alasan nabi memiliki isteri yang ramai dan dengan alasan nabi mengahwini saidatuna Aisyah yang ketika itu berumur Sembilan tahun dan pelbagai tohmahan lain lagi..
Sesungguhnya nabi Muhammad sallallahualaihi wasallam berkahwin sebagaimana berlangsungnya perkahwinan nabi-nabi terdahulu. Allah taala berfirman yang mafhumnya: “Sesungguhnya kami utuskan rasul-rasul sebelum kamu dan kami jadikan bagi mereka itu isteri-isteri dan zuriat-zuriat”. Telah maklum menjadi sunnah Allah terhadap nabi-nabiNya memberikan kepada mereka perkara-perkara yang dapat mencarit adat [mukjizat] , antara perkara tersebut iaitu memberikan kepada nabi-nabi kekuatan syahwat yang berganda tanpa mereka perpaling daripada melakukan ketaatan kepada Allah bahkan ketaatan yang mereka lakukan dengan gigih tanpa jemu dalam situasi kekuatan syahwat yang Allah anugerahkan kepada mereka menambahkan lagi pahala kepada mereka atas kehebatan iman mereka dalam mentaati Allah, inilah yang dikatakan kesempurnaan pribadi mereka.
Rasulullah terkenal dari kalangan arab dengan jolokan nama Muhammad Al-Amin [ Orang yang boleh dipercayai] , hinggakan umur beliau mencecah empat puluh tahun masih lagi tidak ada orang yang standing kecantikannya, “Abu Hurairah menyifatkan nabi dengan katanya ‘seolah-olah matahari sedang berlegar pada wajahnya.”
Jikalau benar tuduhan orang kafir yang mengatakan nabi kaki perempuan maka niscaya akan terserlah pada diri baginda sifat mata keranjang [suka pandang perempuan dengan cara berahi] bahkan sifat begitu akan lebih menonjol, dan lagi niscaya orang-orang di situ akan mencaci beliau dengan sifat itu sewaktu mula-mula beliau mengisytiharkan dirinya sebagai nabi dan mengajak mereka kepada penyembahan Allah yang esa, tapi celaan begitu tidak timbul, hanya yang mereka lakukan adalah menyakiti nabi dengan pelbagai cara.
Sebagaimana yang kita maklum juga Nabi tidak berkahwin sehinggalah umurnya mencecah dua puluh lima tahun dan ketika itu beliau hanya memperisterikan Khadijah yang pada waktu itu telah berumur empat puluh tahun dan berstatus janda sehinggalah khadijah meninggal dunia dan nabi ketika itu telah berumur lima puluh tahun dan beliau masih tidak memiliki isteri selain khadijah, kalaulah hati baginda terpauk kepada perempuan sebagaimana yang mereka dakwa niscaya dari awal lagi dia nabi telah madukan khadijah dan berkahwin dengan anak-anak gadis yang masih dara.. dan niscaya beliau akan memperamaikan isteri-isteri sebelum umurnya mencecah lima puluh tahun atau niscaya beliau akan memperisterikan semuanya dari kalangan anak-anak gadis yang paling cantik di kalangan arab..
Pernah seorang lelaki menawarkan anak gadisnya yang sangat jelita untuk nabi kahwini dan dia juga berkata bahawa anak gadis itu tidak pernah sakit sejak dilahirkan, lalu nabi berkata kepada lelaki tersebut “Aku tidak berhajat kepadanya” . Demikian itu kerana manusia yang terpilih adalah mereka yang banyak ditimpa musibah, kalau lah nabi itu terikat hatinya dengan perempuan niscaya beliau tidak akan melepaskan peluang sebegini.. akan tetapi nabi tidak berkahwin dengan anak dara kecuali hanya aisyah seorang.. itupun gelirannya satu hari dalam sepuluh hari..
Allah taala mengkhususkan kepada nabi Muhammad dengan menghalalkan baginya berkahwin lebih dari empat isteri dalam satu masa,dan mengharamkan demikian itu keatas ummatnya kerana terdapat hikmah yang kembali kepada maslahah dakwah Islam. Menjadi kewajipan keatas beliau menzahirkan hikmah tersebut yang telah disyariatkan oleh Allah taala. Dan pada demikian itu juga terdapat bukti kebenaran nabi sallallahu alaihi wasallam pada dakwaan kenabian dan kerarulan beliau. Kerana kalau bukan kerana wahyu dari tuhannya tidak mungkin beliau berani mengatakan di khalayak manusia “harus bagiku menghimpunkan isteri lebih dari empat orang dan selainku adalah tidak dibenarkan” , akan tetapi beliau tidak kira kecuali apa yang beliau utamakan adah melaksanakan apa sahaja yang Allah wahyukan kepada beliau kerana halatujunya hanyalah untuk mendapat keredhoan dari Tuhan sebab hatinya penuh dengan penyaksian bahawa hakikat sebenar adalah tiada yang dapat member mudhorat dan tiada yang dapat member manfaat kecuali Allah..
Antara hikmah Nabi memperamaikan isteri adalah untuk mengembangkan syariatnya dengan jalan perempuan kepada perempuan, dan adalah isteri-isteri nabi daripada qobilah yang berlainan, untuk menyebarkan ajaran dan hukum hakam berkaitan dengan perempuan seperti haid , nifas, wiladah, jimak ,susuan dan sebagainya dengan cara yang lebih jelas dan untuk mempermudahkan penjelasan tentang itu sesama mereka. Antara hikmahnya lagi beliau dapat hubungkan hubungan kekeluargaan antara qobilahqobilah..
wallahu a’lam..

Thursday, May 20, 2010

Kebijaksanaan Orang Alim

KISAH SEORANG LELAKI YANG INGKAR KEWUJUDAN ALLAH

Dikisahkan pada suatu masa dahulu ada seorang lelaki yang ingkar kewujudan Allah menemui salah seorang khalifah. Dia berkata kepada khalifah tersebut: “Sesungguhnya ulama di zaman kamu mengatakan bahawa alam ini ada pencipta. Aku bersedia untuk berdebat bagi menetapkan alam ini tiada pencipta”.

Lantas khalifah mengutuskan kepada seorang alim yang agung memberitahu beliau berita tersebut dan menyuruhnya hadir untuk berdebat. Pada hari yang dijanjikan, orang alim tersebut sengaja datang lewat sedikit dari waktu yang ditetapkan ke majlis perdebatan. Apabila sampai, khalifah menyambut beliau dan mempersilakannya duduk di hadapan majlis. Pada waktu tersebut para hadirin yang terdiri dari kalangan ulama dan orang bangsawan memenuhi majlis.

Lantas lelaki yang ingkar kewujudan Allah bertanya kepada orang alim tersebut: “Kenapa kamu tiba lewat?”, lalu dijawab oleh orang alim : “ Sesungguhnya telah berlaku kepadaku satu perkara yang ajaib menyebabkan aku lewat. Sebenarnya rumahku di seberang Sungai Dijlah. Apabila aku hendak menyeberangi sungai tersebut aku dapati tiada sampan kecuali yang telah usang yang telah pecah kayu-kayunya. Tiba-tiba kayu-kayu tersebut bercantum kembali menjadi sampan tanpa ada tukang kayu atau pekerja yang memulihkannya,boleh dinaiki tanpa tenggelam. Lalu aku pun naiklah dan menyeberangi sungai dan sampailah ke sini”.

Maka lelaki tersebut menjawab secara mengejek: “ Dengarlah kamu semua para hadirin apa yang dikatakan oleh orang alim kamu ini. Pernahkah kamu mendengar kata-kata yang lebih bohong dari ini? Bagaimanakah ada sampan tanpa tukang kayu yang membuatnya? Ini memang pembohongan yang nyata”.

Maka ejekan tersebut dibalas oleh orang alim dengan tegas dan keras: “ Wahai kafir!!! Jika mustahil ada sampan tanpa ada yang membuatnya dan tiada tukang kayu, maka bagaimanakah kamu mengatakan adanya alam ini tanpa pencipta???”.

Lantas terdiam si kafir tersebut dan matilah hujahnya dengan kata-katanya sendiri. Lalu khalifah mengambil tindakan dan mengenakan hukuman ke atasnya kerana beriktikad yang kafir.

Monday, May 10, 2010

HATI SEORANG IBU

KEWAJIPAN SEORANG ANAK TERHADAP IBUBAPA.
Kewajipan seorang anak terhadap ibu bapanya adalah berbuat baik kepada kedua dan jangan bersikap kurang sopan di hadapan mereka, bercakap dengan mereka dengan penuh lemah lembut.
Islam amat memuliakan ibu dan kemuliaan ibu menduduki tempat teratas selepas mentaati Allah dan rasul. Justeru, Allah telah mewajibkan anak-anak memulia dan menghormati ibu sekalipun berlainan pegangan agama. Allah Azza Wajalla juga secara tegas mengharamkan segala bentuk penderhakaan kepada kedua-dua orang tua selagi ibu bapa berada atas landasan syarak. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya janganlah kamu sembah kecuali Dia, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali telah mencapai usia tua, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka dengan perkataan yang mulia [lemah lembut].” (Surah al-Israa’:23).

Adalah satu hakikat bahawa ibu mempunyai kedudukan yang lebih tinggi berbanding bapa. Jelas sekali dinyatakan dalam hadis kedudukan ibu berbanding bapa. Seorang lelaki datang kepada nabi lalu berkata: “Siapakah yang palingt layak untuk aku damping sebaik-baiknya?? Lalu nabi bersabda: “ibumu” lelaki tadi menanya lagi kemudian siapa?? Jawab nabi “ibumu” , ditanya lagi kemudian siapa?? Baginda menjawab “ibumu” ditanya lagi “kemudian siapa?? Lalu jawab baginda Ayahmu.. [hadis riwayat bukhari] Berdasarkan sifat dan naluri keibuan, maka tidak hairan anak-anak lebih mengasihi, dan mengingati serta sering menyebut nama ibu berbanding bapa. Jika sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Kalau hendak makan, kita lebih suka ibu yang masak dan suapkan. Kalau ingin tidur, kita mahu ibu yang tidurkan. Kalau ingin berkahwin, ibu juga yang kita risaukan. Malah sehingga saat menghadapi kematian pun, kita akan menyebut nama ibu.

Kuatnya ingatan anak-anak kepada ibu ialah kerana ibulah yang mengandungkan kita, ibu yang menyusukan kita, ibu yang menyuapkan kita makan dan minum, ibu yang mendodoi dan menidurkan kita, ibu yang membersihkan najis dan segala kotoran di badan kita. Oleh itu, wajarlah Allah memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya.
Fahamilah bahawa ibu bapa adalah perantara yang menyebabkan kita berada di dunia ini. Mereka terlalu banyak berkorban tenaga, masa dan harta demi kebahagiaan anak-anak. Sedarilah bahawa ibu bapa kita kini telah tua, lemah tenaga, kabur penglihatan dan kurang pendengaran. Mereka sangat mengharapkan pertolongan dan perhatian anak-anak. Gembiralah ibu bapa andainya mereka di kasihi dan dimuliakan dan hancurlah hati ibu bapa jika kita menderhakainya. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan ibu bapa amat besar dan tidak mungkin kita dapat menebusnya.

Wednesday, May 5, 2010

CARA SUAMI LAYAN ISTERI

KUNCI KEBAHAGIAAN RUMAH TANGGA
Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menasihati kita semua dengan sabdanya : Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik terhadap isterinya, sesungguhnya menjalinkan hubungan yang baik dengan isteri itulah yang paling mulia di kalangan kamu.
Semulia-mulia orang islam adalah mereka yang berlaku baik dengan isterinya, cara bermuamalah (berhubungan) dengan isteri adalah dengan lemah lembut, kasih sayang dan belas kasihan, itulah cara terbaik.. Sebaik-baik lelaki adalah mereka yang memberi layanan terbaik untuk isterinya.
Kebanyakan lelaki dewasa ini tidak berpandukan hadis ini dalam hubungan rumahtangga mereka, tidak ada sifat rendah diri ketika bersama isteri.. kebanyakan mereka bersikap ego bahkan menganggap diri ada kuasa penuh ke atas isteri. Perkara macam ini tidak patut berlaku..
Sepatutnya apa yang harus dia lakukan adalah bersifat rendah diri, berikan sepenuh kebahagiaan kepadanya, beri kebebasan dan maafkanlah dia jika berlaku kesalahan atau keburukan, jangan sekali-kali balas keburukan dengan keburukan..! macam tu baru boleh jadi suami misali...
Lelaki yang tidak bermuamalah dengan isterinya mengikut cara yang digariskan tidak akan mendapat tempat dalam rangking keluarga bahagia.
Bermuamalah dengan isteri mestilah dengan cara hikmah.. , Anak yang akalnya masih lemah “pendekatan yang macammana kita ambil!!? Bukankah secara berhikmah dan dengan penuh kasih sayang!? . Nabi juga persabda: sebaik-baik kamu adalah orang yang berbuat baik terhadap keluarganya dan aku [rasulullah] adalah yang terbaik dalam berbuat baik terhadap keluargaku..
Adapun nisbah kepada perempuan, rasulullah mengatakan : “ yang paling diutamakan bagi seorang wanita itu dalah suaminya”. Adapun lelaki pula yang paling utama baginya adalah ibunya, walau bagaimanapun bagi suami yang tidak mampu memberi nafaqah kepada ibu dan isterinya, dalam hal ini dia perlu dahulukan isteri kemudian ibu.
Si isteri pula jika ahli keluarganya memerintahkan suatu perkara sedangkan suaminya juga ada mengeluarkan perintah lain [perintah yang bukan maksiat] maka wajib dia mentaati perintah suaminya, itulah maksud hadis diatas..

Tuesday, May 4, 2010

KETAGIH TV

WAKTU IBARAT PEDANG, JIKA KAMU TIDAK MEMOTONGNYA NISCAYA DIA AKAN MEMOTONGMU
Rasulullah sering mengingati ummatnya agar jangan mensia-siakan masa yang ada, justeru biliau menggesa umatnya agar menghargai waktu seperti sabdanya yang mafhumnya : Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara, [antaranya] Rebutlah peluang waktu hidupmu sebelum datang ajal, rebutlah peluang waktu mudamu sebelum tua, rebutlah peluang waktu sihatmu sebelum sakit.
Hadis ini mengajak manusia berwaspada daripada mensia-siakan waktu dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak memberi manfaat kepada merekia di akhirat, kerana orang yang tidak berusaha bersungguh-sungguh dalam melakukan ketaatan kepada Allah ketika hidupnya maka akan pergi meninggalkannya kebaikan yang banyak , hanya yang akan bersamanya adalah penyesalan.., orang yang waktu mudanya tidak berusaha bersungguh-sungguh apabila meningkat usia tua nanti dia tidak akan mampu melakukan banyak amalan-amalan untuk akhirat,ketika itu baru hendak menyesal.
Amatlah tidak patut kita mengabaikan amalan yang menjamin keuntungan kepada kita di kubur dan diakhirat sana dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah , amat rugilah mereka yang menghabiskan masanya dengan menonton tv dan seumpamanya, waktu yang dihabiskan itu kalaulah digunakan untuk aktiviti kebajikan atau digunakan untuk berzikir dan beristigfar untuk kedua ibu bapanya itu lebih besar manfaatnya.
Menghabiskan masa sepanjang hari di depan tv atau membiasakan anak menghabiskan masa dengan gejala seperti itu boleh mendatangkan kesan buruk kepada anak-anak. Anak yang telah terbiasa dalam kelalaian apabila ibu bapanya meninggal dunia anak-anak itu akan terus dalam kelalaian, waktu yang sepatutnya dihabiskan untuk meminta keampunan Allah untuk ibu bapa dihabiskan untuk perkara sia-sia, kalaulah ibu bapa sewaktu hidupnya membiasakan anaknya melakukan perkara-perkara manfaat seperti mengaji Al-Quran dan sebagainya niscaya anak itu dapat memberi manfaat kepada ibu bapanya setelah mereka berdua meninggal dunia.
Ibu bapa yang telah meninggal dunia sentiasa menunggu-nunggu apa yang anaknya bawa datang kepadanya , menanti-nanti hadiah istighfar atau hadiah pahala Al-quran dan seumpamanya. Mereka di alam barzah amat mengharapkan perkara tersebut, jika anak tidak dididik dengan betul, mana mungkin hadiah itu boleh sampai kepadanya, perkara sebegini amat mendukacitakan.. awas! ibu bapa.. jangan sekali-kali biasakan anak lalai dengan menonton tv sepanjang hari kelak ia menghalang kamu dari menerima hadiah dari mereka..
Anak tidak di lahirkan untuk besuka ria semata-mata .amat malanglah bagi ayah yang membiarkan anaknya menghabiskan masa dengan sia-sia .jangan kita benarkan anak menonton tv kecuali dengan kadar masa yang berpatutan sahaja bagi mengelakan mererka pergi ke tempat-tempat yang mengudang maksiat yang lebih besar.hanya sekadar itu,kerana kejahatan ituada yang lebih ringan dari sebahagian yang lain.
Kebanyakan manusia memelihara anak seperti memerlihara lembu,lembu boleh di harapkan susu dari nya.jika lembu jantan boleh dibuat membajak.sedangkan golongan ini anak-anak bagi mereka hanya untuk besuka ria,fikiran mereka terhadap akhirat amat lemah.
Manusia dulu apabila selesai dari kerja, mereka pergi ke masjid untuk solat magrib kemudian mendengar pengajian agama sehingga masuk waktu isyak.begitu kehidupan mereka menghipungkan agama dan dunia. Adapun hari ini kebayakan mereka menghabiskan siangnya untuk makan,minim dan kerja semata-mata,malam pula diperuntukkan untuk tidur. Amat rugilah mereka yang begitu keadaanya.
>

Komen Terkini

Recent Comments Widget by Jom Bina Belog
 

Posts & Comments

get this

Trafik

 
Blogger Templates